WANITA
Selain JKKR, GPW merupakan satu gerakan persatuan yang mewakili seluruh kaum wanita. Mereka terdiri daripada isteri-isteri peneroka rancangan. Matlamatpersatuan ini ialah untuk mewujudkan masyarakat wanita yang maju dan progresif yang boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha meninggikan taraf hidup dan ekonomi keluarga. Di samping dapat mewujudkan semangat kemasyarakatan dalam kalangan wanita-wanita di tanah rancangan ini.
Gerakan Persatuan Wanita atau GPW ditubuhkan untuk memainkan peranan menjadi medan perbincangan bagi mengusulkan sesuatu cadangan atau penyelesaian isu berkenaan hal ehwal wanita terutama di Felda Selancar 4&5 ini. Ianya merangkumi hal ehwal kebajikan dan kemasyarakatan, pendidikan dan sebagainya.
Persatuan ini mempunyai pelbagai fungsi, antaranya memberi khidmat nasihat kepada ahlinya yang ingin menceburkan diri dalam bidang tertentu seperti perniagaan, penghasilan kraftangan dan lain-lain. Pelbagai aktiviti berunsurkan keagamaan seperti bacaan Yasin dari rumah ke rumah kerap turut diadakan pada setiap hujung minggu. Selain aktiviti keagamaan, aktiviti kemasyarakatan turut dijalankan seperti pengindahan kawasan kampung yang dilakukan secara bergotong-royong.
Tujuan GPW ialah untuk memberi pendedahan idea-idea baru dalam aspek baru iaitu aspek pembangunan keluarga dan masyarakat, di samping menambahkan pengetahuan dan kemahiran penerokawati untuk kemajuan rancangan pada keseluruhannya.

